Mudahkan Yang Payah
____________________________
Seorang lelaki mengadu kapada seorang doktor
pakar mengenai masalahnya tidak boleh tidur
malam.
Pelbagai cara telah diusahakan, tetapi masalah
tetap tidak dapat diatasi.
"Apa yang mengganggu fikiran kamu hingga
tidak dapat tidur?" tanya doktor.
"Saya rasa ada seekor dinosaur bersembunyi di
bawah katil saya. Dan apabila saya memejam mata,
dinosaur itu akan membaham saya!"
"Masalah awak hanya ada pemikiran awak.
Tidak ada dinosaur, percayalah."
"Ada!" jawabnya penuh yakin.
Doktor itu mengadakan mesyuarat dalam kalangan doktor-doktor pakar berbincang
mengenai masalah lelaki itu.
"Jelas itu masalah psikologi," kata doktor pakar psikologi.
"Ini masalah fobia akibat didikan masa lampau,"
ujar seoran pakar yang lain.
"Saya rasa ini berkaitan dengan masalah saraf,"
tambah seorang doktor pakar saraf.
"Baiklah, saya beri masa untuk awak semua
mencuba kaedah masing-masing untuk
mengubatinya," rumus doktor tadi.
Selepas seminggu, doktor-doktor tersebut
bermesyuarat semula untuk membentang laporan
masing-masing.
"Ini masalah psikologi yang sungguh kronik. Pelbagai kaedah telah saya gunakan,
tetapi dia tetap merasakan ada dinosaur di bawah katilnya," pakar psikologi membuat
penjelasan.
"Sarafnya semua okey. Tidak ada apa-apa yang tidak normal."
"Saya syorkan dia menerima rawatan alternatif."
Banyak cadangan yang diusulkan, sehingga doktor itu bingung mana satu rawatan
yang logik untuk dilaksanakan.
Di rumah, doktor itu bermenung panjang.
"Mengapa ayah termenung?" tegur anak yang berusia tujuh tahun
"Ada masalah seorang
pesakit ayah."
"Apa masalahnya ayah?
Mana tahu saya boleh membantu."
Dalam hati doktor terdetik,
kalau daripada kalangan
doktor-doktor pakar pun tidak
dapat menyelesaikan masalah
ini, inikan pula anak yang
berusia setahun jagung!
Namun untuk meraikan si anak, doktor itu pun menceritakan masalah pesakitnya.
"Oh, dia rasa ada dinosaur menyorok di bawah katilnya hinga dia tidak boleh
tidur?"
"Ya, begitulah."
"Kalau begitu ayah potong sahaja kaki katilnya!"
"Apa pula kaitannya kaki katil itu dengan masalah tidak boleh tidur?"
"Kalau kita potong kaki katil, sudah tentu dinosaur tu tak ada tempat untuk
bersembunyi!"
"Ya tak ya juga," bisik doktor itu dalam hati.
Esoknya, kaki katil pesakit itu dipotong.
"Nah, sekarang dinosaur itu tidak ada tempat lagi bersembunyi di bawah katil kamu.
Kamu boleh tidur sekarang."
Benarlah, si pesakit itu pun boleh tidur dengan nyenyaknya.
_____________________________________________
Pengajaran
_____________________________________________
Betapa banyak masalah besar yang dapat diungkai apabila
kita berfikir dengan santai, bebas dan keluar daripada kotak
pemikiran yang biasa.