Wednesday, 28 December 2011

Siapa Kaya,Siapa Miskin?




    Apakah hakikat kekayaan,dan apa hakikat
kemiskinan?
    Setelah payah Hukama' mencari apakah erti
kekayaan yang sebenarnya,mereka mendapat
keputusan,iaitu:
    "Orang kaya ialah orang yang sedikit 
    keperluannya"
    Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan,
ialah hajat dan keperluan.Siapa yang paling sedikit
keperluannya,itulah orang yang paling kaya dan
siapa yang amat banyak keperuannya,itulah orang
yang miskin.Sebab itu yang maha kaya hanya Allah.Sebab Allah tidak berkehendak
keperluan atau hajat.
      Jutawan ramai yang miskin!
      Dasar segala yang tersebut itu,pergantungannya ialah diri sendiri.Kalau orang hendak
kaya,cukuplah apa yang ada,jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain,
hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah,tenteramkan jiwa di dalam menghadapi
alhayat.
      Kalau hendak miskin,ingatlah segala yang teringat,kenanglah segala yang belum ada,
hendaki ini dan itu,hendaki rumah yang lebih cantik,kerana yang sekarang walaupun
bagaimana cantiknya,belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu,
padahal rumah kita sendiri,sudah titik air liur orang lain melihatnya.
      Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada,sudi menerima walaupun berlipat
ganda beratus-ratus bilion,sebab dia nikmat Tuhan.Tidak pula kecewa jika jumlahnya
berkurang,sebab dia datang dari sana dan  akan kembali ke sana.Jika kekayaan melimpah
ialah untuk menyokong amal dan ibadat,iman dan untuk membina keteguhan hati
menyembah Tuhan.Harta tidak dicintai kerana dia harta.Harta hanya dicintai sebab dia
pemberian Tuhan,dipergunakan kepada yang berfaedah.

      Apakah perbezaan antara orang banyak
harta dengan orang yang hanya berbaju
yang  lekat di tubuh itu sahaja?
      Orang yang banyak harta dan orang
yang tidur di kaki lima, adakah berbeza
perasaan sakit yang mereka tanggungkan?
Adakah berbeza demam yang mereka
hidapkan?Tidak....Walaupun orang kaya
tidur di tilam tebal dan berselimut mahal,
dan orang miskin tidur beratapkan langit
sahaja.
      Kematian boleh datang menyerang
seorang kaya yang sedang berada di atas
singgahsana keemasan,dijaga oleh
dayang-dayang yang ramai,beratus-ratus
pengawal yang berdiri di muka pintu.
Kematian pun boleh datang kepada
seorang peminta-minta sehinga dia
tersungkur di tepi jalan.
   
     Bukan harta sedikit yang menyebabkan susah, bukan harta yang banyak yang
menyebabkan gembira. Asas gembira dan susah payah adalah jiwa yang gelisah atau
jiwa yang tenang dan damai.



sumber: Buku Tasauf Moden
          oleh Prof Dr. HAMKA









No comments:

Post a Comment